Monday, October 26, 2009

PM terima kunjungan penerima biasiswa Harvard


PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menerima kunjungan hormat daripada anak Malaysia pertama yang ditawarkan biasiswa di Universiti Harvard, Amerika Syarikat di pejabatnya di sini hari ini. 

Tunku Dr Sharifah Elizah Cornelia Jamalullail, 29, ditawarkan biasiswa daripada universiti tersohor itu untuk melakukan kajian di dalam bidang psikiatrik selama sebulan.

Biasiswa di bawah naungan The Mahadevan Fellowship Travelling To Harvard University itu membolehkan beliau melanjutkan pengajian di Jabatan Psikiatri, Hospital Massachusetts Amerika yang pernah dinobatkan sebagai hospital terbaik dunia selama 13 tahun berturut-turut.

Pada majlis itu, Najib turut menyaksikan majlis menandatangani sijil Mahadevan Fellowship Award yang diserahkan kepada Dr Sharifah Elizah Cornelia sebagai simbol kejayaan beliau.

Dr Sharifah Elizah Cornelia yang kini berkhidmat separuh masa dengan Twin Tower Medical Centre, berkata beliau akan berlepas ke Amerika malam ini dan bekerjasama dengan London School of Clinical (Malaysia) sekembalinya ke tanah air bulan depan.

Beliau berharap kajian yang akan dilakukannya itu memberi manfaat kepada dunia perubatan negara khususnya dalam bidang psikiatri, sekaligus memberi sumbangan kepada program kesihatan mental antarabangsa.
Dr Sharifah Elizah Cornelia yang lebih mesra dikenali sebagai Dr Elly, adalah lulusan Guy's Hospital, London, dan sangat berminat dengan aspek penjagaan dan kebajikan pesakit.

Beliau dipilih daripada tiga calon lain yang disenarai pendek untuk menerima biasiswa itu.

Turut disenaraikan ialah penuntut tahun akhir Fakulti Perubatan International Medical University, Dr Ng Khian Boon; pakar psikiatri kanan di Bahagian Psikiatri Hospital Sultan Abdul Halim, Kedah, Dr Gayathri Kumarasuriaris, dan perunding psikiatri Pusat Perubatan Pantai, Dr Zainal Daniel Abdul Rahman.

Turut serta pada pertemuan itu ialah isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, yang juga anggota Jawatankuasa Persekutuan Kesihatan Mental Sedunia.
The Mahadevan Fellowship Travelling To Harvard University adalah biasiswa khusus dalam bidang psikiatri dan hipnosis klinikal yang dinamakan sempena Tan Sri Dr M Mahadevan.

Penerima biasiswa ini dinilai berdasarkan keupayaan mereka sebagai ahli psikiatri atau pengamal perubatan dan perlu memiliki Diploma Hipnosis Klinikal dari London College of Clinical Hypnosis yang merupakan tempat Dr Mahadevan menuntut satu ketika dahulu.

Dr Mahadevan adalah pelopor dalam kedua bidang berkenaan di negara ini yang mula berkhidmat sebagai pakar psikiatri seawal tahun 1961.

Kejayaan beliau mula diiktiraf selepas berjaya menyelamatkan seorang lelaki daripada kemalangan ngeri di Dublin, Ireland hanya menerusi hipnosis klinikal. - Bernama

No comments:

Post a Comment