Monday, October 26, 2009

Guru, guru besar bakal terima insentif istimewa

PUTRAJAYA: Lebih tiga hingga empat peratus guru termasuk pengetua dan guru besar bakal menerima insentif istimewa dinilai pada kecemerlangan sekolah masing-masing, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin

Yassin mengumumkan demikian semalam.

Beliau berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan Kementerian Pelajaran bagi membuat penilaian menentukan guru yang layak.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, bentuk insentif istimewa itu hanya diumumkan akhir tahun ini bagi membolehkan tumpuan guru dapat diberikan sepenuhnya terhadap aspek kepemimpinan di sekolah mereka.

“Ia akan dinilai bukan hanya bersandarkan kepada kecemerlangan keputusan peperiksaan semata-mata malah turut mencakupi aspek kepimpinan di sekolah dan beberapa kriteria lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan ‘’Mighty Minds’’ di sini.

Beliau berkata, Ia mungkin dalam bentuk bonus gaji sebanyak sebulan atau dua bulan.

“Semua ini akan diberikan dalam bentuk pakej kerana ia bukan hanya bergantung pada kejayaan pengetua atau guru besar saja, ia mesti usaha membabitkan ramai pihak. Kita akan maklumkan sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Mengulas mengenai pemberian Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik, beliau berkata, ia akan dimulakan tahun depan dengan mengambil kira keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tahun ini.

“Kementerian putuskan melakukan penggredan semula, sistem pemarkahan dengan gred baru. Kita akan pilih pelajar yang terbaik antara yang terbaik, ‘creme de la creme’ daripada keseluruhan pelajar dan ia dilakukan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.

Penilaian pelajar tersebut, jelas beliau, akan ditentukan jawatankuasa khas yang akan dibentuk.

Dalam perkembangan lain Muhyiddin berkata, kurikulum baru mata pelajaran di sekolah akan digubal untuk menjadikan proses pembelajaran lebih holistik, kondusif dan menyeronokkan.

“Pendekatan baru ini menjadikan pelajar lebih profisien selaras dasar baru kementerian; memartabatkan Bahasa Melayu dan mengukuhkan Bahasa Inggeris. Ini akan menjadikan sistem pengajaran dan pembelajaran lebih kondusif dan tidak hanya tertumpu kepada peperiksaan semata-mata,” katanya.- Bernama

No comments:

Post a Comment